Pusat Automotif Berjaya Menganjurkan Persidangan Antarabangsa Kali Ke-4 "International Conference on Automotive Innovation & Green Energy Vehicle (AiGEV) 2020"
Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) UMP berjaya melaksanakan Persidangan “The 4th International Conference on Automotive Innovation and Green Energy Vehicle” (AiGEV 2020) pada 10 hingga 11 November 2020 bertempat di Perpustakaan UMP kampus Pekan, Pahang dan secara Virtual melalui Platform Google Meet. Persidangan ini pada awalnya dicadangkan untuk dilaksanakan pada Mei 2020 di Putrajaya, tetapi disebabkan penularan pandemik Covid-19 program terpaksa ditunda dan dijalankan secara Virtual. Persidangan ini melibatkan ahli akademik, pelajar pascasiswazah, ahli profesional dan industri yang merupakan platform kepada para penyelidik dalam membentangkan kertas kerja berkaitan teknologi-teknologi terkini dan mempertingkatkan lagi penyelidikan dalam bidang kejuruteraan teknologi hijau, pengangkutan, keselamatan, produk dan perkhidmatan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ts. Dr. Mohd Razali bin Hanipah selaku Pengarah Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) UMP manakala Keynote Speaker yang telah dijemput adalah Profesor Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz, Pengarah, Institute of Transport Infrastructure, Universiti Teknologi Petronas dan Profesor Ts. Ir. Dr. Saiful Amri Mazlan, Profesor, Malaysia-Japan International Institute of Technology, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Kejituan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.
Persidangan AiGEV 2020 kali ini telah menarik minat seramai 36 penyertaan dari pelbagai universiti, pusat penyelidikan dan industri dari dalam dan luar negara. Di antara peserta dari luar negara yang terlibat adalah daripada Kasetsart University, Thailand, Universitas Indonesia, Universitas Muhammadiyah Jakarta, Manipal Institute of Technology, India dan Christ College of Engineering and Technology, India. Manakala peserta daripada industrI adalah daripada Syarikat Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON). Persidangan ini telah dilaksanakan dengan jayanya dengan kerjasama dan kolaborasi daripada Kolej Universiti TATI (UC TATI) dan tajaan daripada Syarikat Taat Bistari Sdn. Bhd.
Pihak AEC berharap dengan perlaksanaan persidangan ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan menjadi peneraju penyelidikan dan inovasi dalam bidang kejuruteraan teknologi hijau, dan mewujudkan jaringan akademik yang kuat di kalangan penyelidik di Malaysia dan luar negara, seterusnya menjadi platform pemindahan teknologi secara global.