Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) Menyertai Pameran "KUALA LUMPUR INTERNATIONAL MOTOR SHOW 2018 (KLIMS18)"
Pada 23 November 2018 hingga 2 Disember 2018, Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) telah menyertai pameran “Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS18)” bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur. Program pameran ini telah diketuai oleh Dr. Mohamad Heerwan Bin Peeie, Felo Penyelidik AEC dan melibatkan 3 orang pelajar pascasiswazah UMP serta 2 orang staf teknikal AEC.
“Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS18) merupakan salah satu acara terbesar di Malaysia yang melibatkan bidang dan industri automotif. Pertunjukan dan pameran selama 10 hari ini diadakan bertujuan untuk mempamerkan pelbagai teknologi dan mesin permotoran dari kenderaan penumpang, kenderaan komersial, motosikal, aksesori, dan sebagainya.
Progam pameran ini telah dirasmikan oleh Yang Hormat Datuk Aisyah Ahmad, Presiden Malaysian Automotive Association (MAA) dan antara syarikat jenama kenderaan antarabangsa yang telah menyertai pameran ini adalah Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Kawasaki, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Perodua, Proton, Toyota, UD, V-Kool dan 3M.
Penyertaan ke program ini dapat memupuk minat dan memantapkan ilmu serta kemahiran staf, para pelajar dan felo penyelidik AEC dalam penguasaan ilmu dan kepakaran menjalankan kajian dalam bidang kejuruteraan automotif dengan pendedahan teknologi terkini terutama industri permotoran daripada luar negara. Selain daripada itu, ia dapat memperkenalkan usaha AEC khususnya dan UMP amnya sebagai sebuah Universiti yang sedang meningkat naik dalam bidang kejuruteraan automotif bagi mengukuhkan rangkaian dan jalinan kerjasama penyelidikan dengan institusi penyelidikan automotif tempatan dan antarabangsa, institusi pengajian tinggi serta industri berkaitan.